Tuesday, July 7, 2009

Pembicaraan Bermula jam 9 pagi ini

1. PAS Wilayah Persekutuan melahirkan rasa kecewa dan terkejut dengan campurtangan politik yang sangat jelas ke atas badan kehakiman berhubung pengendalian kes perhimpunan Bersih di Parlimen yang melibatkan sepuluh orang penyokong dan pimpinan tertinggi PAS.

2. Kes tersebut yang ditetapkan untuk bicara pada 7 hingga 9 Julai 2009 ini pada asalnya telah ditangguhkan kerana Hakim perlu menghadiri kursus di Melaka.

3. Mahkamah telahpun menyerahkan surat kepada peguambela tertuduh dua minggu yang lepas bagi memaklumkan penangguhan tersebut. Walau bagimanapun, pada hari Jumaat (3 Julai 2009) lebih kurang jam 12.00 tengahari, pihak Mahkamah telah menghubungi peguambela tertuduh dan memaklumkan bahawa mereka mendapat "arahan" untuk meneruskan dengan perbicaraan sungguhpun Hakim yang mengendalikan kes tersebut sepatutnya menghadiri kursus seperti yang ditetapkan.

4. Perubahan arahan di saat akhir ini sangat meragukan dan menampakkan tekanan dan campurtangan politik yang cukup tidak bermoral ke atas kes ini, lebih-lebih lagi menjelang penamaan calon Pilihanraya Kecil DUN Manik Urai pada hari ini.

5. Kes ini melibatkan pimpinan tertinggi PAS iaitu YB Dr Mohd Hatta Md Ramli selaku Bendahari PAS dan juga Ahli Parlimen Kuala Krai (di mana DUN Manik Urai berada di dalam kawasan parlimen tersebut) , Ust Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS, YB Dr Lo'Lo' Dato Hj Mohamad Ghazali , AJK PAS Pusat yang juga merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr Mohd Nasir Hashim, Presiden Parti Sosialis Malaysia yang juga merupakan ADUN Kota Damansara dan lima penyokong Pakatan Rakyat yang lain.

6. Mereka telah ditahan kerana kononnya berhimpun secara haram di perkarangan Parlimen pada 11Disember 2007 untuk menyerahkan memorandum bantahan pindaan perlembagaan bagi melanjutkan tempoh persaraan setahun lagi Tan Sri Abdul Rashid, Pengerusi SPR pada ketika itu. PAS Wilayah Persekutuan amat berharap agar perbicaraan kes ini dapat berjalan dengan seadil-adilnya dan tanpa gangguan dan campurtangan politik parti pemerintah.

7. Sebab utama kes ini perlu sangat disegerakan oleh "pihak atasan" amat diragui dan dipersoalkan, kerana dalam masa yang sama ribuan kes-kes lain yang melibatkan nyawa dan hak asasi tertuduh masih belum lagi dibicarakan. Ini menunjukkan berlakunya "selective prosecution" yang sangat jelas dalam insitusi kehakiman negara dan mengesahkan lagi pandangan umum bahawa insitusi kehakiman kita masih belum bebas sepenuhnya dari tangan-tangan kotor parti pemerintah.

AHMAD ZAMRI BIN ASA'AD KHUZAIMI
Pengerusi Lajnah Guaman
PAS Wilayah Persekutuan,

No comments: